::PenYiaSat LuAr NeGaRa ::


Kerajaan negeri akan melantik badan perunding bebas dari luar negara yang berkaliber dan berkemampuan dengan segera bagi mengenalpasti punca kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak runtuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, tiba-tiba runtuh dan menimpa beberapa kenderaan berhampiran kawasan itu, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, kerajaan negeri sedang mencari perunding bebas yang tidak diragui, sebaliknya badan itu dapat diyakini serta berkemampuan termasuk mempunyai prestasi baik, hebat dan berpengalaman dalam menyelesaikan siasatan kes berkenaan.

Katanya, badan perunding itu tidak diberi tempoh masa tertentu bagi menyiapkan laporan punca kejadian bagi memastikan mereka dapat memberi laporan secara menyeluruh, tepat serta keputusan yang tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

Menurut Menteri Besar, Kementerian Kerja Raya turut melantik badan perunding bebas yang berasingan bagi menyiasat perkara itu.

“Kita akan ada dua perunding bebas yang akan menilai (kejadian bumbung runtuh). Sampai satu masa nanti, kita boleh tengok daripada dua ini, kalau ada persamaan, pendapat yang sama boleh terima kalau ada perbezaan mengapa perbezaan ini berlaku supaya lebih selamat dan tidak bergantung kepada satu pandangan perunding sahaja.

“Saya beritahu Dato’ Setiausaha Kerajaan mencari badan perunding yang boleh diharap dan berkemampuan kerana apabila kita buat pemeriksaan, mestilah perunding itu lebih hebat daripada apa yang dia buat,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini, (3 Jun).

Selain itu, Menteri Besar turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiasat bangunan lain yang baru siap dibina termasuk Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Stadium Tertutup Gong Badak dan Kolam Renang di Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan mahu supaya tidakan susulan dilakukan terhadap bangunan baru siap serta dilaporkan mengalami kerosakan bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Dalam mesyuarat exco tadi saya meminta supaya exco kemudahan awam berhubung dengan JKR supaya membuat siasatan terperinci berkenaan bangunan-bangunan yang kita buat,” katanya.

Menteri Besar juga menolak kemungkinan kejadian bumbung runtuh itu berlaku kerana bangunan yang dibuat secara tergesa-gesa, berikutan tempoh masa menyiapkan projek stadium itu adalah mencukupi dan berdasarkan jadual sebenar.

“Kita tidak tahu sama ada kontraktor bersalah, kalau bersalah adakah dia melakukan tidak mengikut spesifikasi, tidak mengikut dari segi teknikal, rekabentuk tidak betul, kiraan tidak betul, atau dari segi badan perunding.Kita tidak tahu terjadi daripada sesiapa dan sebab itu kita mintak supaya siasatan badan bebas dibuat mengenalpasti apakah punca sebenar.

“Kita tidak boleh salahkan sesiapa dan kita terima hakikat ia telah roboh dan perlu adakan badan penyiasat bebas bagi mengenalpasti mengapa ini terjadi,” katanya.

Sedutan Daripada Teg Buletin Terengganu


0 Responses

~#HeHeHe...(^-^)...#~