:: SoLaT MuSaFiR ::

SOLAT MUSAFIR KETIKA BALIK KAMPUNG

Persoalan 1 & Pendapat 1 :
1. Sekiranya saya balik ke kampung mentua (kampung suami) yang jaraknye melebihi 2 marhalah boleh atau tidak sy solat jamak dan qasar ketika berada di situ..dan berapa hr yang sy blh jamak? setahu sy ada 2 pendapat yang mengatakan boleh dan ada yang kata tidak boleh.....minta utz untuk kemukakan 2 pendapat ini dan yang manakah yang terbaik utk dilakukan.
2. Adakah suami saya boleh jamak dan qasar ketika pulang ke kampungnya itu?
Terima kasih

Jawapan & Pendapat;
Jika kita berasal di satu tempat, kemudian kita berpindah darinya dan tinggal/mustautin di tempat yang lain, merujuk kepada amalan Nabi s.a.w. harus kita melakukan solat musafir (yakni jamak dan qasar) tatkala kita bermusafir ke tempat asal kita jika jaraknya melebihi dua marhalah dari penempatan baru kita. Sedia dimaklumi bahawa Nabi s.a.w. berasal dari Mekah, kemudian berhijrah ke Madinah. Hadis-hadis Nabi s.a.w. menceritakan bahawa tatkala baginda bermusafir ke Mekah, baginda melakukan solat musafir ketika berada di Mekah - walaupun Mekah itu asalnya adalah tanah kelahirannya-. Seorang sahabat bernama ‘Imran bin Hushain r.a. menceritakan; “Aku pernah berperang dengan Rasulullah s.a.w. dan bersama baginda ketika pembukaan kota Mekah. Baginda menetap di Mekah selama 18 hari dengan tidak mengerjakan solat melainkan dua rakaat (yakni melakukan solat qasar). (Selepas memberi salam), baginda berkata (kepada makmum di belakangnya dari kalangan penduduk Mekah); “Wahai penduduk Mekah, sempurnakan solat kamu kepada empat rakaat kerana kami adalah golongan musafir”. (HR Abu Daud).

Berdasarkan hadis ini, harus kita melakukan solat musafir apabila kita pulang ke kampung/penempatan kelahiran kita jika kita tidak lagi menetap di situ. Adapun tempoh keharusan melakukan solat musafir, sila baca jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/tempoh-harus-solat-musafir.html).

Mengenai pendapat ulamak, ada sebahagian ulamak berpendapat; tidak harus seseorang melakukan solat musafir jika ia singgah di suatu tempat yang ada di situ ahli keluarga dan hartanya. Ia hanya harus melakukan solat musafir ketika dalam perjalanan ke situ sahaja. Adapun apabila sampai, ia hendaklah melakukan solat penuh. Ini kerana dengan adanya keluarga dan hartanya di situ, maka tempat itu telah telah menyerupai negeri/kawasan penempatannya. Antara yang berpandangan sebegini ialah Imam Ahmad dan az-Zuhri. Berkata Imam az-Zuhri; sesiapa bermusafir dengan melalui ladang/kebun miliknya, tidak harus solat musafir di situ. Pandangan ini di ambil dari Ibnu ‘Abbas di mana menurut beliau; jika kamu tiba di satu kawasan/tempat yang ada ahli keluarga atau harta kamu, hendak lah kamu mengerjakan solat sebagaimana solat orang muqim (orang yang menetap), yakni; solat dengan sempurna, tanpa qasar.

Namun jumhur ulamak (termasuk Imam Syaf’ie, Ibnu al-Munzir, Imam Malik dan sebagainya) berpendapat; harus ia solat musafir selama ia tidak berniat menetap (bermuqim) di situ. Jika ia berniat menetap (bermuqim) di situ, tamatlah keharusan solat musafirnya (yakni ia hanya harus mengerjakan solat musafir di perjalanan sahaja dan apabila sampai hendaklah ia melakukan solat sebagaimana biasa). Jadi menurut pandangan ini hukum bermusafir ke tempat yang ada ahli keluarga kita sama seperti bermusafir ke tempat lain, iaitu harus melakukan solat jamak dan qasar (jika mencukupi syarat-syarat dari segi jarak dan sebagainya) selama kita tidak berniat untuk menetap atau bermastautin di situ.

Pandangan pertama berdalilkan hadis riwayat Imam Ahmad yang menceritakan bahawa; Saidina ‘Usman apabila berada di Mekah, beliau tidak mengqasarkan solatnya akan tetapi melakukannya dengan sempurna. Lalu perbuatannya disanggah oleh sahabat-sahabat yang lain. Maka ia menjawab; Aku telah berkeluarga di Mekah. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa berkeluarga di satu negeri, hendaklah ia mengerjakan solat sebagaimana orang muqim (yakni tidak boleh jamak dan qasar)” (Riwayat Imam Ahmad). Namun, para ulamak hadis telah sepakat mengatakan bahawa; hadis ini adalah dhaif (lemah), tidak harus dijadikan hujjah. (Lihat; Nailul-Autar; 3/221).

sumber : http://halaqah.net/


Persoalan 2 & Pendapat 2 :

Saya sering balik kampung dan berjalan jauh. Saya mengetahui ketika musafir kita boleh menjamakkan solat, tetapi lantaran kurangnya ilmu tentang hal itu membuatkan saya tidak yakin untuk melaksanakan solat tersebut. Saya hanya mengqada solat setelah sampai ke destinasi. Banyak perkara yang mengelirukan saya. Misalnya kita tidak boleh menjamakkan solat sekiranya akan mendiami destinasi tersebut lebih dari tiga hari. Kita juga tidak boleh menjamakkan solat sekiranya destinasi tersebut adalah kampung halaman kita.

Namun ada yang mengatakan kita boleh menjamakkan solat kerana ia bukan bergantung pada destinasi yang akan kita pergi, tetapi ia bergantung pada tempat di mana kita menjamakkan solat. Contohnya, di pertengahan jalan, kita terhenti, kita tidak berada di situ lebih dari tiga hari dan tempat itu bukan kampung halaman kita.

Oleh itu saya amat berharap ustaz dapat menerangkan tentang solat jamak dan qasar, syarat-syaratnya dan cara mendirikannya, agar saya dapat mempraktikkannya kelak.


Jawapan & Pendapat ;

Soalan saudari tentang tidak boleh jamak sekiranya destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman sendiri adalah seperti berikut (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar Al-Fikr):-

a- Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung kelahirannya di Batu Pahat, Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 85 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.

b- Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan menegatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, kelaur dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.

c- Sekiranya ia dalam perjalanan balik dari kampung Johor atau Peraknya ke KL, ia juga tidak boleh meng"qasar"kan solat apabila telah sampai ke rumahnya di KL

Adapun kenyataan saudari "tidak berada lebih tiga hari di sesuatu tempat perhentian" adalah syarat untuk qasar sahaja. Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika terdapat sebab-sebab yang di sebutkan di atas.

*p/s:jawapan dan pendapat y lebih detail di link di bawah

sumber : http://www.zaharuddin.net/

***p/s:mane satu yang lebih baik???...terpulang la pada pendapat masing-masing...semoga Allah menerima ibadah kita semua...

:: TaHaJJuD vS QiaMuLLaiL ::

PERBEZAAN QIAMULLAIL DAN TAHAJJUD

Qiamullail: Setiap solat sunat yang dilakukan pada waktu malam.
Tahajjud: Setiap solat sunat yang dilakukan selepas tidur pada waktu malam.

Oleh itu setiap solat tahajjud adalah qiamullail dan tidak semestinya solat qiamullail itu solat tahajjud.

Dalilnya adalah hadis yang diucapkan oleh seorang sahabat Nabi saw , iaitu Hajjaj bin Amru ra beliau berkata:

بحسب أحدكم إذا قام من الليل يصلي حتى يصبح : أنه قد تهجد؟ إنما التهجد المرء يصلي الصلاة بعد رقدة ثم الصلاة بعد رسول الله وتلك كانت تلك صلاة رسول الله

" Adakah sesorang menyangka apabila dia menghidupkan malam dengan solat sehingga subuh itu sudah dikira tahajjud? Sesungguhnya tahajjud hanyalah solat malam selepas tidur. Kemudian solat selepas tidur. Itulah cara solat Rasulullah saw." (Hr Thabrani )

Daripada Hajjaj bin Amru ra beliau berkata:

كان رسول الله يتهجد بعد نومه

"Rasulullah saw solat tahajjud selepas tidur." (Hr Ibnu Abi Khaisamah - hasan)

Ulama Syafie dan Maliki memberi definasi solat tahajjud:
"Solat sunat pd waktu malam selepas tidur."

PERMULAAN WAKTU SOLAT QIAMULLAIL

Rasulullah saw bersabda:

لا بد من صلاة بليل ولو حلب شاة وما كان بعد صلاة العشاء الآخرة فهو من الليل

"Solat malam adalah satu kemestian sekalipun sekadar perahan susu kambing biri-biri. Solat yang dilakukan selepas solat fardu isya adalah dikira solat malam." (Hr Thabrani - daif)

Ulama telah berselisih pendapat pada masalah ini kepada dua pendapat:-

Pendapat pertama:

Solat qiamullail adalah solat sunat yang dilakukan selepas solat isya.
Ini adalah pendapat mazhab Hanafi dan sebahgian ulama syafie.

Pendapat kedua:

Tidak disyaratkan solat qiamullail itu dilakukan selepas isya'. Waktu solat qiamullail bermula apabila masuk waktu magrib.

Imam Bahuti berkata:

"Disunatkan Qiamullail. Waktunya bermula dari waktu magrib sehingga waktu subuh."

PERMULAAN WAKTU TAHAJJUD

Ada dua pendapat mengenai perkara ini seperti berikut:

Pertama: Mazhab Syafie

Imam Syarwani berkata: Tahajud menurut istilah ulama syafie adalah sembahyang sunat yang dilakukan selepas solat isya sekalipun sebelum masuk waktu isya bagi yang melakukan jamak takdim dan hendaklah dilakukan selepas tidur. Tidak kira apa jua jenis solat sunat samada solat sunat rawatib atau solat-solat sunat yang lain.

Kedua: Mazhab hanafi.

MAzhab hanafi mensyaratkan untuk dikira solat tahajjud hendaklah dilakukan selepas masuknya waktu isya dan dilakukan selepas tidur.

WAKTU QIAM DAN TAHAJJUD RASULULLAH SAW

Aisyah ra telah menjawab soalan tentang solat malam Rasulullah saw:

كان ينام أوله ويقوم آخره فيصلي ثم يرجع إلى فراشه فإذا أذن المؤذن وثب فإن كان به حاجة اغتسل وإلا توضأ

"Nabi saw tidur pada awal malam kemudian bangun diakhir malam dan melakukan solat malam. Kemudian baginda akan berjimak dengan isterinya jika baginda berkeinginan sebelum baginda tidur semula. Bila azan berkemandang, baginda akan bangun dan mandi junub jika telah berjimak dan hanya berwuduk jika tidak berjimak." (Hr bukhari dan Muslim)

WAKTU HABIS QIAMULLAIL

Kebanyakan ulama yang terdiri dari mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali mengatakan habisnya masa qiamulail dan tahajjud adalah bila masuk waktu subuh.

Aisyah ra telah berkata:

كان رسول الله صلى الله يصلي من الليل حتى يكون آخر صلاته الوتر

" Rasulullah saw solat pada waktu malam yang diakhiri dengan solat witir." (Hr Muslim - sahih)

Ini menunjukkan solat Rasulullah saw berakhir sebelum masuk waktu subuh.

Pesanan Penting:

Hendaklan setiap muslim yang telah qiamullail dan tahajjud pada bulan ramadan meneruskan amalan mereka selepas ramadan. Janganlah kita merobohkan binaan amalan yang telah dibina di bulan Ramadan. Nabi saw bersabda:

يا عبد الله لا تكن مثل فلان كان يقوم الليل ثر ترك قيام الليل

"Wahai Abdullah, janganlah engkau menjadi seperti si fulan, dahulu dia melakukan qiamullail. Kemudian dia meninggalkannya." (Hr Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan amalan2 yang lain kita perlu teruskan dengan ikhlas.

Rujukan: Mawaqit Ibadah Zamaniah wal Makaniah oleh Dr Nizar Mahmud dan Fathul Bari oleh Ibnu Hajar Asqalani.

***p/s:sekadar berkongsi ilmu dgn pembaca2 semua...