Showing posts with label TazKiRaH. Show all posts
Showing posts with label TazKiRaH. Show all posts

:: HiDuP TuK BerSeDeKaH ::

Suatu hari, saya, kakak dan ayah, bergerak ke Shah Alam.

Berehat sebentar menunaikan solat jamak di hentian rehat Tapah. Usai solat, pergi menemani kakak yang kelaparan.

Saya memerhati sekeliling sementara menunggu kakak membeli makanan. Ramai orang yang singgah untuk makan. Menariknya melihat keluarga Cina yang makan rendang dan ketupat palas, memang jiwa Malaysia ini.

Tetapi bukan itu yang menarik pandangan saya, dari kejauhan memerhati susuk tubuh si kecil. Memegang sesuatu di tangannya, pergi dari meja ke meja.

Saya pasti si kecil itu akan ke meja saya juga.

Dan..

"Kak, ni saya ada jual benda ni, duit derma untuk anak-anak yatim. Kalau akak tak nak beli pun takpe, derma seikhlas yang akak nak beri," ujar si kecil itu. Saya menjangka dia masih bersekolah lagi. Mungkin dalam lingkungan 12-13 tahun.

Saya tersenyum.

"Tak pe dik, terima kasih ye."

Lalu kakak menegur," Baru nak cakap, kenapa tak bagi je duit. Dah tadi dia kata derma je seikhlas yang nak diberi."

"Bukan tak nak bagi kak. Tak ada duit, tertinggal beg duit dalam kereta. Bagi senyum pun sedekah juga tu."

"Itu semua sindiket. Kesian budak kecik macam tu, jadi mangsa."

"Itulah juga. Tadi dekat stesyen minyak hentian jejantas Sungai Buloh pun ada orang macam ni juga. Minta derma untuk anak yatim. Peliknya macam mana diorang boleh sesat sampai ke hentian ni." Saya menambah.

Persoalan di situ. Namun saya hapuskan prasangka. Memang bukan sukar untuk mengenali peminta sedekah yang dari sindiket atau tidak. Hasil dari perbualan saya dengan seorang pakcik berbangsa Cina di KL Sentral suatu ketika dulu, mencerahkan lagi pengetahuan saya tentang kes sindiket seperti ini.

Benar, jika mahu bersedekah, tidak perlu dilihat pada siapa kita mahu sedekah, dan berfikir ke mana duit itu akan pergi. Kearna niat kita untuk bersedekah itu sudah diberi ganjaran.

Tetapi kadangkala saya terfikir bahawa jika semua orang berfikiran seperti itu, maka pasti ada golongan yang mengambil kesempatan. Suatu ketika dulu, gempar dengan isu pendapatan si peminta sedekah mampu mencapai pendapatan ribuan ringgit sebulan.

Kita sering dimomokkan dengan status negara yang semakin maju dan ekonomi yang semakin meningkat. Tetapi dalam masa yang sama, masih ada segelintir masyarakat yang hidup merempat.

Kekayaan hasil negara masih tidak dapat diagihkan secara saksama. Justeru itu, timbul golongan peminta sedekah ini, yang menyara diri dan keluarga hasil belas ihsan.

Cuma satu nasihat saya, jika diri masih berupaya, berusahalah dengan kudrat sendiri. Bukankah tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima. Walau sesukar mana mencari rezeki, hasil dan pahalanya tetap ada.

Buat orang-orang yang diminta duit untuk disedekahkan.

Walau anda tiada duit, berikanlah senyuman kepada mereka. Bukankah itu juga adalah sedekah. Jangan diherdik dan dicaci walau mereka itu asal dari mana. Mungkin saja mereka tidak mau menerima nasib sebegitu. Andai anda berada dalam keadaan mereka, bagaimana rasanya?

Firman Allah SWT:

"Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati." (Al-Baqarah : 263)

Saya juga punya pengalaman sebegitu.

Ketika menjadi sukarelawan untuk mengutip derma bagi tabung Palestin. Walau duit tidak diterima ketika disapa, cukup senyuman itu mampu mebuatkan saya bahagia dan bersemangat untuk meneruskan kerja. Paling utamanya adalah mereka mahu mendengar coletah saya mengenai Palestin, agar mereka peduli nasib ummah di sana.

Walau apa pun, marilah kita memperbanyakkan sedekah.

Sedekah bukan sahaja dari segi wang. Sedekah boleh datang dari bentuk tenaga, masa, senyuman, ilmu dan sebagainya.

Makanya kita memang tidak boleh lari dari sedekah bukan?

Mari menjadi hamba yang suka bersedekah.

:: SuRaH Al-QaDr ::

Surah Al-Qadr yang terdiri dari 5 ayat adalah surah ke-97 dalam Al-Quran yang terletak setelah surah Al-'Alaq. Surah ini tergolong Makkiah yang diturunkan setelah surah 'Abasa pada tahun ke-4 setelah bi'tsah.

Ia Al-Qadr, diambil dari kalimat Al-Qadr yang disebutkan dalam ayat pertama surat ini. Diriwayatkan dari Rasulullah Saw, bahwa barang siapa yang membaca surah ini, akan mendapatkan pahala orang yang berpuasa di bulan Ramadhan dan menghidupkan malam-malam Lailatul Qadar.

Terjemahan ayat :
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
1. Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan
2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
3. Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.
4. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan ruh dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.
5. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.

*****************************************************************************************************************
Setiap kali bulan Ramadhan, selalu kita mengimpikan untuk menemui malam yang cukup istimewa, Malam Lailatul Qadar. Dimana menurut banyak keterangan bahawa Malam Lailatul Qadar itu terjadi pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan.

Dimana dimalam itu lebih baik dari seribu bulan, dengan kita beribadah dimalam tersebut. Dan bukankah disetiap hari itu baik, asalkan kita isi dengan berzikir kepada Allah SWT.
Malam Lailatul Qadar sering di sebut malam seribu bulan, bahkan kalau yang melakukan ibadah dimalam tersebut pahalanya sama dengan ibadah seribu bulan.

Firman Allah SWT:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatul qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.
(al-Qadr: 1-5).

Sayyid Qutub dalam tafsir Fi Dzilalil Quran menyatakan, malam Lailatul Qadar bermandikan cahaya Allah, cahaya malaikat, dan cahaya roh sampai terbit cahaya fajar. Rasulullah saw. menyuruh kita menghidupkan malam itu,
" Barangsiapa bangun untuk ibadah di malam Lailatul Qadar, dengan iman dan harapan, akan diampuni dosa-dosanya yang lampau."

:: aHLaN WaSaHLaN Ya RaMaDHaN ::

Terasa indah pada hari ini mampuku berdiri, menghadiahkan seribu kali kesyukuran, di bulan Syaa'ban yang mulia. Ini bermakna aku semakin menghampiri Ramadhan Al Mubarak yang ku tunggu-tunggu demi cintaku pada yang Esa. Ya, masih tinggal cuma beberapa hari lagi sebelum Ramadhan tiba. Namun, tatkala teringat bahawa ajal datang umpama kilat memanah bumi, malah lebih laju dan tepat detiknya, aku menjadi sayu.

Bagaimana andainya Ramadhan kali ini tidak dapat ku temui? Mungkinkah nyawaku ditarik sebelum sempatnya Ramadhan kembali? Segala persoalan ku tahu tidak akan terjawab namun, aku kembali memohon kepada Dia, Allah S.W.T, panjangkanlah usia hambamu ini, dan berikanlah kesempatan memenuhi Ramadhan-Mu lagi. Kerana Ramadhan dahulu aku telah mengecewakan Mu, Ya Allah. Kerana Ramadhan dahulu aku telah banyak mensia-siakan Ramadhan dengan kealpaan dan kemungkaran.

Ramadhan, bulan penuh keberkatan. Mengapa ia dikatakan begini? Sudah tentu semua telah maklum bahawa Ramadhan merupakan satu-satunya bulan yang kita diuji dengan pelbagai corak ujian untuk mengukur kesabaran demi memperoleh seribu kebaikkan daripadanya. Masya-Allah!

Jika ada antara yang bukan Islam bertanyaku, 'Tidak lapar kah kamu semua berpuasa selama 30 hari? Kalau aku di tempat engkau, sudah tentu aku tidak dapat memenuhi tuntutan puasa tersebut'.

Maka aku selalu nyatakan pada mereka bahawa, 'aku berpuasa bukanlah bermakna aku sedang kebuluran. Sedangkan di setiap pelusuk dunia masih ramai yang tidak menemui makanan dan minuman. Adakalanya berhari-hari mereka kelaparan namun mereka tetap cuba untuk hidup sehingga sisa-sisa nafas yang terakhir. Aku berpuasa demi mengingati Allah dan ciptaan Allah yang ditakdirkan kekurangan serba-serbi dalam kehidupan, di malam hari aku beribadah memuji Allah kerana aku bersyukur, ditakdirkan hidup dalam golongan manusia yang sederhana. Masih mampu meraih nasi dan lauk pauk. Masih mampu meneguk air berwarna warni lengkap berais. Tapi mereka? Ada yang sekadar meneguk air lumpur. Ada yang menangis, meneguk air longkang. Mengapa tidak kita yang serba cukup ini masih tidak bersyukur?'

Aku teringat mengenai kisah sahabat Nabi yang dikasihi mengharungi bulan Ramadhan:

Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib, apabila masuk bulan Ramadhan, dan ketika malam telah melabuhkan tirainya, beliau mengadap mihrabnya (tempat ibadat) sambil memegang janggutnya lalu ia mengangis sambil berkata: Wahai dunia! Samada kamu menghadap kepada ku atau berpaling dariku, aku telah ceraikan kamu dengan talak tiga, dan tidak mungkin lagi aku kembali kepadamu. Sesungguhnya umur kamu pendek, urusun kamu (menipu daya manusia) sangat hina dan tipu daya sangat besar. Ohh! Alangkah sedikitnya bekalan (ku), sedangkan perjalanan sangat jauh dan jalan pula sukar!

Masya-Allah, Saidina Ali sahabat Baginda S.A.W yang dijamin syurga pun merasakan dirinya mempunyai bekalan amalan yang sedikit, inikan lagi kita yang nyata-nyata sering melakukan dosa besar dan kecil kepada Allah S.W.T? Sekali lagi hati ini bertukar sayu dan hiba. Aku mungkin bijak menyatakan kepada mereka tentang fadhilat berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi aku sendiri masih banyak melakukan dosa yang sedar dan tidak di bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain selain Ramadhan. Sedangkan aku tahu aku tidak semulia Saidina Ali. Ampunkanlah dosaku Ya Allah!

Allah menciptakan manusia dengan tujuan, iaitu untuk menguji samada kita baik atau sebaliknya.

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)." [Al-Mulk : 2]

Setiap permulaan pasti ada pengakhiran bukan? Pengakhiran ujian itulah yang dinamakan Mati/Maut.

Firman Allah ta'ala yang bermaksud:

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya." [Ali-Imran:185]

Ramadhan adalah bulan penuh dengan kebaikan, keberkatan dan rahmat Allah yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya. Ia ibarat seperti pasar-pasar perniagaan yang kesemua barang-barangnya yang di jual adalah yang terbaik dan dijamin kekal selama-lamanya. Inilah perniagaan yang sangat menguntungkan.

Firman Allah ta'ala lagi mengenai kehidupan yang bermaksud:

"Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya)." [Al-Saf : 10-11]

:: aWaK, KnP KaHwiN DgN SaYa? ::

"Aku terima nikahnya Fatimah Az-Zahrah binti Mohamad Nasir dengan mas kahwin RM80.00 tunai".

Dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri. Lidahku kelu tidak mampu berkata apa-apa. Perasaanku bercampur baur. Pipiku terasa hangat dan basah. Aku tidak pasti mengapa air mataku jatuh sedangkan aku sepatutnya gembira dengan pernikahan ini.

Abdul Rahman bin Abdullah, itu lah nama jejaka yang kini telah sah menjadi suamiku. Dialah yang akan menjadi teraju masjid yang telah kami bina. Orangnya tinggi, kulitnya agak cerah, matanya bersinar, wajahnya seakan-akan bercahaya. Mukanya tidaklah persis Orlando Bloom yang dinobatkan menjadi "hot papa", mahupun Kim Hyun Joong yang menjadi kegilaan ramai gadis. Dia tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang.

Dirinya memang selalu menjadi buah mulut orang. Apakan tidak, sudahlah mukanya manis di pandang, di tambah pula dengan sikapnya yang zuhud. Ya, dia seorang yang taat kepada Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Selepas sahaja dia melafazkan akad, dia terus lakukan sujud syukur. Sungguh. Dia memang menjadi idaman siapa sahaja yang melihatnya. Aku juga aneh kenapa dia memilih aku? Sedangkan dia begitu baik, begitu alim, begitu sempurna..

Hingga detik ini aku masih belum mendapat jawapannya. Kenapa aku yang dipilihnya? Aku bukanlah baik mana. Kalau diikutkan, di luar sana, masih ada berjuta wanita yang boleh dipilihnya. Masih ramai lagi yang lebih baik daripadaku. Tapi, kenapa aku? Pakai tudung pun masih tidak pecus lagi. Kerap kali pemakaian tudung ku masih tidak mengikut saranan agama.

"Alhamdulillah. Sekarang, kita sah menjadi suami isteri. Abang harap, dengan penyatuan kita, dapatlah kita sama-sama berjuang ke jalan Allah", ujar suamiku menghentikan lamunanku sebentar tadi.

Di pandangnya wajahku, kemudian di lapnya benih-benih jernih yang keluar dari kelopak mataku. Selepas disarungkan cincin ke jari manisku, kusalam tangannya. Dia kemudiannya mencium dahiku. Entah kenapa pada waktu itu aku terasa tenang. Aku dapat rasakan keselamatan yang selama ini tidak pernah kurasakan dengan mana-mana lelaki lain. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Air mataku tetap laju merembes keluar dari hujung pagar kelopakku.

"Alhamdulillah, anak mak sudah jadi isteri orang sekarang ni. Jadi isteri ni, tak mudah. Tapi, banyak ganjarannya. Lepas ni, kamu kena duduk dengan suami, jaga makan minum suami. Pesan mak jangan lupa, ya nak. Kata suami jangan ingkar", pesan ibuku sebelum aku pergi mengikut suamiku pulang ke rumah baru kami.

***

"Zahrah, dari tadi Abang tengok Zahrah diam je. Kenapa? Zahrah tak sedap badan ke?" tanya suamiku memecahkan kesunyian yang tercipta di antara kami.

Aku masih tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ku gelengkan sahaja kepalaku menunjukkan kepadanya bahawa aku tidak apa-apa. Namun, dia terus ajukan soalan kepadaku,"Dah tu, kenapa Zahrah diam? Zahrah rindu mak ye?"

Usikannya langsung tidak mendapat respon daripadaku. Aku masih duduk kaku di sofa ruang tamu rumah kami.

Alhamdulillah. Biarpun, rumah kami tidaklah besar mana tapi cukup dengan kelengkapan rumah. Set sofa, televisyen, peti sejuk, semuanya sudah lengkap tersedia. Suamiku memang benar-benar bijak merancang sebelum berkahwin. Dilengkapi dulu segalanya sebelum dia masuk merisik si gadis sunti.

Perlakuanku yang dari tadi diam membisu ibarat seorang anak kecil yang baru lepas dimarahi menyebabkan si dia mengambil keputusan untuk mendekatiku justeru terus mengatur langkah ke arahku dan mengambil posisi betul-betul di sebelahku. Di pegangnya pipiku, diusapnya kepalaku. Wajahnya begitu tenang menyebabkan aku turut tenang. Terus terdetik dalam hatiku 'Ah, untungnya badan.

Sudahlah kacak, baik pula tu' Ditenungnya mataku dalam-dalam sebelum dia bertanyakan semula padaku, "Zahrah, kalau awak tak selesa Abang faham. Ni kali pertama awak hidup tanpaparents kan. Abang faham Zahrah. Susah bagi awak nak terima semua ni. Tapi, dari tadi Abang tak nampak pun Zahrah senyum. Kot ye pun, senyum lah sikit. Zahrah comel tau kalau senyum," dia cuba memujuk agar aku mengukir senyuman.

Entah kenapa, bibirku mula mengukir senyuman. Aneh. Kenapa aku akur dengan kata-kata dia? Ah! Aku tidak mahu lagi berada dalam kekeliruan. Aku perlu tahu kenapa dia beria-ia mahu menikahi aku. Gadis yang begitu banyak kelemahannya. Gadis yang tak pernah pun ambil peduli pasal dia malah aku tak pernah mengenalinya secara dekat sebelum ini. Oleh sebab itu aku perlu tahu. Aku ni sekadar pelengkap hidup dia yang sememangnya lengkap tu ke? Ye lah. Semuanya dia ada. Yang kurang, cuma isteri. Lagi-lagi umur dia yang dah masuk 30-an. Entah-entah aku ni pilihan dia yang terakhir.

"Hmm.... awak, kenapa awak nak kahwin dengan saya?" ayat pertama yang keluar dari rongga mulutku setelah bergelar suami isteri.

"Laa.. Sebab tu je ke. Zahrah cuma nak tahu tu je? Tu yang Zahrah diam membisu dari tadi?", ujar sang suami diikuti ketawa kecil.

"Awak, saya tanya kenapa awak nak kahwin dengan saya?" tanyaku dengan nada yang lebih tegas.

"Hmm... Zahrah nak Abang jawab macam mana? Biar Abang jawab asalkan isteri Abang senyum,"soalanya kembali dengan lemah lembut.

"Awak, saya tak main-main ni. Saya tanya sekali lagi. Kenapa awak kahwin dengan saya?"bentakku.

"Okay. Abang akan jawab. Tapi, sebelum tu boleh Abang tahu kenapa Zahrah kahwin dengan Abang?" Soalnya pula seakan ingin menjeratku kembali.

Terkaku kelu lidahku mendengar ungkapan balas darinya. Ya, kenapa aku mengahwininya? Kalau aku tidak mahu, boleh saja aku katakan tidak. Tapi, kenapa aku terima? Kenapa aku tidak membantah di saat ibu dan ayah menjodohkan aku dengan dirinya? Apa yang membuatkan aku tertarik dengan si dia? Sebab wajahnya kah? Atau sebab kebijaksanaan si teruna? Atau mungkin kerana keimanannya? Aku tidak tahu. Aku keliru.

"Kenapa Zahrah membisu?" tanya si suami membuatkan aku tersedar.

"Saya tanya awak dulu kan! Awak jawab je lah! Jangan nak ubah topik boleh tak?" Bentakku sudah hilang sabar kerana terasa seolah sedang dipermainkan.

Dia agak terkejut dengan nada ku yang tinggi itu. Namun dia tidak marah. Yang menghairankan ku lagi, dia cuma tersenyum.

"Abang kahwin dengan Zahrah sebab Allah," ujarnya ringkas tetapi seakan penuh makna.

"Awak, dari dulu sampai sekarang itu je yang awak kata. I need your explanations! Please, I need to know the truth. Stop fooling around with God's name, boleh tak? Kalau awak nak menarik perhatian saya dengan jawapan awak tu, fine! You've made it! Saya tertarik bila dengar awak cakap macam tu. Tapi, sekarang please lah! Since, kita memang dah sah jadi husband and wife, I need to know why. And by saying that, I mean, explanation. saya tak nak hidup dalam kekeliruan. Hidup dalam sangkaan yang awak kahwin dengan saya sebab saya ni last choice.I'm tired of being the person who people i'll turn to bila diorang tengah lonely. Bila diorang dah tak ada tempat lain untuk mengadu, untuk berseronok, untuk bergelak tawa, baru diorang nak cari saya. Saya penat diperlakukan sebegitu. Awak faham?" jawabku panjang dan keras.

Ku palingkan mukaku darinya. Entah kenapa aku begitu takut untuk berkata kasar tepat pada wajahnya. Entah kenapa secara automatik aku berkata begitu tanpa ada sedikit pun keberanian memandang mukanya.

Sekali lagi, dia mengalihkan wajahku tepat memandang wajahnya. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tiada langsung bara kemarahan yang dapat dilihat dalam irisnya.

"Abang kahwin dengan Zahrah cuma ada satu sebab. Tak lebih, cuma satu. Orang lain, mungkin ada banyak sebab tapi bagi Abang, cukuplah satu sebab Abang. Abang kahwin dengan Zahrah bukan sebab Zahrah cantik. Abang akui, Zahrah memang cantik. Tapi, jujur Abang katakan kalau Abang nak cari yang lebih cantik, Abang boleh. Tu langsung tak menjadi masalah. Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab Zahrah bijak. Buat apa Abang kahwin dengan orang yang bijak yang satu hari nanti berkemungkinan besar akan pijak kepala Abang? Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab kemewahan. Tidak Zahrah, tidak sama sekali. Kalau mahukan kemewahan, segalanya Abang dah ada. Rumah.. Kereta... Walaupun tidaklah sebagus dan semahal mana, tapi sekurang-kurangnya Abang ada," balasnya lembut penuh hikmah dengan makna yang amat mendalam.

Kata-katanya lagi sekali membuatkan flood gate ku mula penuh hanya menanti masa untuk dirembeskan. Aku benar-benar kaget mendengar ucapannya. Seketul organ yang aku bawa selama ini, yang aku jaga daripada dipermainkan oleh mana-mana insan yang bergelar lelaki bagaikan ditusuk dan dirobek-robek halus oleh kata-katanya. Sinis sungguh arjuna ini! Mentang-mentang aku sudah sah menjadi isteri, boleh pula dia suka-suka hati cakap macam tu kat aku. Indah khabar dari rupa sungguh! Mahu sahaja aku tampar mukanya. Namun, entah kenapa badanku terus diam kaku. Seakan-akan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibirnya.

"Zahrah nak tahu kenapa Abang kahwin dengan Zahrah? Jawapan Abang memang takkan berubah, sayang. Tidak kiralah macam mana pun Zahrah tanya Abang, jawapan Abang tetap sama. Abang kahwin dengan Zahrah kerana Allah. Allah yang menentukan jodoh kita. Rusuk Abang, ada pada Zahrah. Jadi, siapa yang dapat melindungi hati Abang melainkan Zahrah? Mungkin Zahrah fikir kita tidak secocok. Tapi, ini semua perancangan-Nya, Zahrah. Kecantikan Zahrah, kebijaksanaan Zahrah, kemewahan Zahrah, itu semua tidak menarik Abang kepada Zahrah. Apa yang menarik Abang pada Zahrah adalah Allah. Segalanya telah Allah tentukan. Bila kita lahir, bila kita meninggal, siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki kita, semua itu Allah telah tetapkan, sayang," tutur suamiku ikhlas.

Sekali lagi, kata-katanya menusuk kalbuku. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tersedu sedan aku menangis mendengar kata-katanya. Terus dipeluknya aku erat. Saat ini, aku terasa nyaman. Selamat sungguh aku rasa dalam pelukannya. Biarpun tangisan ku semakin menjadi-jadi, tapi hatiku seolah-olah mendapat satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.

"Apa yang boleh Abang katakan, Abang tidak mungkin akan mengungkapkan kata-kata seperti orang lain. Bermanis mulut mengatakan isterinya begini begitu, menjawab persoalan mengapa dia mencintai isterinya dengan memberikan pelbagai perumpamaan. Abang tidak mampu melakukan semua itu. Tapi, kalau itu yang Zahrah mahu, Abang usahakan. Dengan izin-Nya, insya-Allah, Abang cuba. Tapi, tolong jangan terus menerus mempersoalkan ini dan itu. Ini semua kehendak Yang Maha Esa, sayang. Kita Muslim, kepercayaan kepada Allah adalah asas. Itu tonggak kebahagiaan kita dunia akhirat. Abang harap, Zahrah faham. Kita hidup atas dunia ni sementara," pujuknya tatkala melihat aku mulai menangis.

"Ta....tapi..... Abang tak kenal pun Zahrah... Abang tak pernah tahu pun hati budi Zahrah," aku cuba menduganya dalam sedu-sedan.

"Sekarang pun, kita boleh kenal antara satu sama lain kan? kita dah jadi suami isteri, lebih mudahlah Abang nak kenal isteri Abang, tak gitu?"

"Ta....tapi..... Abang tak tahu siapa Zahrah. Zahrah ni jahat. Abang baik. A..." aku masih ingin menduganya. Aku mahu dia tahu aku bukanlah sebaik dirinya. Aku tidak setaraf dengannya.

Dilekapkan jari telunjuknya ke bibirku. "Tiada siapa yang boleh menentukan kebaikan seseorang melainkan Allah, sayang. Tiada seorang pun. Hanya Allah yang selayaknya untuk memutuskan siapa yang baik, siapa yang tidak."

Kualihkan jari runcingnya dari bibirku, lantas ku pandang wajahnya. Memang benar kata orang, memang sejuk mata memandangnya. Dia masih kelihatan begitu tenang biarpun aku sudah mengasarinya. Hebat sungguh arjuna ini mengawal emosinya. Aku mengerti jika dia marah. Sudahlah baru sahaja selesai resepsi, penat masih belum hilang, tak semena-mena isterinya pula buat hal. Kagum sungguh aku dengan lelaki yang telah selamat menjadi suamiku.

"Abang, Zahrah minta maaf. Zahrah tak bermaksud nak berkasar dengan Abang. Tapi, bila ada yang mempersoalkan sebab kita berkahwin, Zahrah jadi keliru. Sungguh" ujarku terketar-ketar dalam tangisan.

Suamiku hanya mendiamkan diri. Dibelainya aku perlahan dengan harapan dapat menenangkan aku.

"Abang sendiri tahu, Zahrah tidaklah secantik mana, tidaklah sebijak mana. Mahu dibanding dengan gadis yang pernah Abang temui, mungkin Zahrah tidak langsung setaraf dengan mereka. Lagi-lagi kita tidak pernah keluar bersama. Alih-alih, kita nikah. Mestilah timbul curiga dalam hati orang" terangku satu persatu.

"Zahrah, sudahlah tu. Abang faham Zahrah inginkan penjelasan. Memang Zahrah berhak tahu kenapa abang berkahwin dengan Zahrah. Im marrying you because of Allah and the answer will remain the same forever. Zahrah percayakan Abang?" Soalnya ingin tahu isi hatiku.

Aku mengangguk tanda setuju. Tidak ada lagi kalimah yang bisa kususun melainkan ucapan puji bagi Ilahi. Terima kasih, Ya Rabb kerana mempertemukan aku dengannya. Terima kasih, Azza wa Jalla kerana kau mempertemukan aku dengan seorang lelaki yang bisa mendekatkanku dengan-Mu. Terima kasih, Ya Allah!

:: NaBi SuLaiMaN & SeeKoR SeMuT ::

Di zaman Nabi Allah iaitu Nabi Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas, kemudian Nabi Sulaiman ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi Sulaiman tinggalkan semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Sulaiman menemplak semut:

"Kamu rupanya berbohong pada aku!...Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apa pun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku.

Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Peristiwa ini menginsafkan Nabi Allah iaitu Nabi Sulaiman, bertapa keyakinan seekor semut terhadap Penciptanya di dalam kehidupannya....bertapa teguhnya iman seekor semut kepada Penciptanya...

Bagaimana pula kita sebagai hamba yang lebih mulia daripada sekor semut, dikurniakan olehNya akal yang tidak dianugerahkan kepada hamba-hambanya yang lain melainkan hambanya yang bergelar manusia....tepuk dada, tanyalah iman...renungkan bersama-sama...mudah-mudahan kita mendapat pengiktibaran dari kisah di atas...wallahualam...


~#HeHeHe...(^-^)...#~