:: SoLaT JuMaaT....HuKumNya??? ::
Apa hukumnya meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat kerana tidak dibenarkan ketua dengan alasan tidak boleh meninggalkan kerja?
Apakah senarai uzur atau halangan yang membolehkan seseorang meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat?
Apa tindakan yang patut dilakukan oleh seseorang yang dilarang meninggalkan kerja bersyif pada saat tibanya waktu menunaikan sembahyang fardhu Jumaat, dengan catatan bahawa kerja bersyif itu boleh diambil alih oleh orang yang tidak wajib bersembahyang Jumaat, seperti perempuan dan orang yang bukan Islam?
Bagaimana pula tindakannya jika tidak ada orang yang mahu mengambil alih kerja itu?
Apa hukumnya seseorang ketua tidak membenarkan pegawainya yang sedang bekerja untuk pergi menunaikan sembahyang fardhu Jumaat, sedangkan ketua itu boleh mengambil kebijaksanaan dengan menugaskan atau mencari (mengambil pekerja baru) orang yang tidak wajib bersembahyang Jumaat untuk melakukan kerja berkenaan?
Jawapan:
Hukum sembahyang fardhu Jumaat ialah fardhu ‘ain apabila berhimpun syarat-syarat wajib dan syarat-syarat sah sembahyang Jumaat itu.
Dalil yang menjelaskan kefardhuan sembahyang Jumaat itu sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah: 9)
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan akan kewajipan sembahyang Jumaat itu sebagaimana sabdanya:
Maksudnya: “Menyegerakan Jumaat itu wajib ke atas setiap orang yang bermimpi (bâligh).” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Tersebut di dalam kitab Mughni al-Muhtâj: “Bahawa syara‘ telah menentukan syarat-syarat wajib sembahyang Jumaat itu ke atas setiap orang Islam yang mukallaf iaitu bâligh, berakal, merdeka, lelaki, orang yang muqîm, yang tidak sakit dan lain-lain lagi seperti takut, tidak mempunyai pakaian, lapar dan dahaga. Dan tidak wajib Jumaat itu bagi kanak-kanak dan orang gila sebagaimana pada sembahyang yang lain. Berkata Imam an-Nawawi di dalam kitab ar-Raudhah: “Tidak wajib Jumaat bagi orang yang pitam kerana pitam itu seperti orang gila, dan tidak wajib bagi hamba, perempuan dan orang musafir yang diharuskan, sebagaimana sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas setiap orang Islam kecuali empat: Hamba yang dimiliki atau perempuan atau kanak-kanak atau orang sakit.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan lain-lain)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Tidaklah (wajib) sembahyang Jumaat itu bagi orang yang musafir dan orang yang sakit.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Berkata Imam an-Nawawi di dalam kitab yang sama: “Dan tidak wajib sembahyang Jumaat itu ke atas mereka yang berkeuzuran yang diberikan kelonggaran (rukhshah) pada meninggalkan sembahyang berjemaah.” (Kitab Mughni al-Muhtâj: 1/376)
Dan berkata Ibnu ‘Abbas bahawa: “Sembahyang Jumaat itu adalah seperti sembahyang berjemaah.”
Di antara keuzuran-keuzuran yang boleh seseorang itu meninggalkan sembahyang Jumaat ialah sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk, dan orang yang menghidap penyakit cirit-birit dan takut akan mencemarkan kebersihan masjid. Imam ar-Rafi‘e juga menyebut di dalam kitab at-Tatimmah mengenai sembahyang berjemaah bahawa orang yang dipenjara (dikurung) itu juga adalah dianggap sebagai keuzuran. (Kitab Mughni al-Muhtâj: 1/376)
Berkata asy-Syirazi di dalam kitab al-Muhadzdzab: “Bahawa tidak wajib sembahyang Jumaat itu bagi orang yang takut akan berlaku suatu yang tidak baik pada dirinya atau hartanya sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang mendengar seruan azan dan dia tidak pergi kepadanya untuk bersembahyang, maka tiada sembahyang baginya kecuali orang-orang yang mempunyai keuzuran”. Mereka bertanya: “Ya Rasulullah, apakah keuzuran itu?” Baginda menjawab (bersabda): “Takut dan sakit.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Tidak wajib sembahyang Jumaat itu bagi orang yang terkena hujan di dalam perjalanan menuju ke masjid menyebabkan pakaiannya basah dan terhalang tujuannya untuk bersembahyang, dan tidak wajib ke atas orang yang menunggu orang sakit yang tidak boleh ditinggalkan dan tidak wajib pula ke atas orang yang mempunyai keluarga (kerabat) atau menantu/ipar lelaki atau orang yang dikasihi yang hampir mati (nazak). (Al-Muhadzdzab: 1/152).
Beliau (asy-Syirazi) juga menyebutkan, di antara keuzuran-keuzuran yang boleh seseorang itu meninggalkan sembahyang berjemaah ialah kerana hujan lebat, berlumpur dan angin yang kuat di waktu malam yang sangat gelap, makanan yang terhidang sedang dia merasa lapar atau menahan daripada kentut, berak dan kencing.
Daripada keuzuran berjemaah yang lain ialah orang yang takut akan berlaku sesuatu yang tidak baik (mudharat) pada dirinya atau hartanya atau dia sakit. (Al-Muhadzdzab: 1/131)
Imam an-Nawawi menyebutkan, di antara yang dikatakan keuzuran itu ialah apabila dia takut daripada orang yang akan membuat zalim ke atas dirinya atau terhadap hartanya atau dia mempertahankan dirinya daripada sultan atau orang lain yang akan menzaliminya atau dia takut daripada pemiutang yang akan memenjarakannya atau dia mesti membayarnya sedangkan dia tidak berdaya. Dan termasuk takut tentang sesuatu yang mengenai harta itu ialah jika sekiranya roti sudah dibakar di dapur dan periuknya sudah di atas api sedang tidak ada orang yang menjaga di tempat itu. (Kitab al-Majmû‘: 4/100)
Maka daripada penjelasan terhadap kelonggaran (rukhshah) yang diharuskan bagi meninggalkan sembahyang Jumaat itu, pegawai-pegawai yang ditugaskan bekerja pada waktu sembahyang Jumaat dan kerja tersebut tidak boleh ditinggalkan, kerana tidak ada orang lain yang akan mengendalikannya, adalah keadaan tersebut termasuk dalam keuzuran yang diharuskan oleh syara‘, sebagaimana juga orang yang menunggu orang sakit yang tidak boleh ditinggalkan, atau kerja tersebut tidak boleh ditinggalkan kerana mentaati ketua. Di dalam Islam mentaati ketua itu adalah wajib pada perkara yang bukan maksiat dan bukan menderhaka kepada Allah dan RasulNya. Hal ini telah dijelaskan dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada uli al-amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.” (Surah an-Nisâ’: 59)
Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan di dalam hadis daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Bagi seorang Muslim itu adalah wajib mendengar dan taat kepada orang yang berkuasa, sama ada dia menyukai atau sebaliknya, kecuali dia diperintahkan melakukan perkara maksiat. Jika dia disuruh melakukan perkara maksiat, maka tidak wajib mendengar dan mentaati (perintah itu).” (Hadis riwayat Muslim)
Hendaklah diingat, bahawa pegawai yang ditugaskan itu janganlah dia bercita-cita atau mengharapkan supaya bertugas pada waktu sembahyang Jumaat agar dia terlepas daripada pergi menunaikan sembahyang Jumaat. Demikian juga menjadi kewajipan ketua untuk memerhatikan dan mencari jalan dengan bijaksana bagi mengaturkan jadual pekerjaan untuk pegawai-pegawai dan kakitangannya yang bertugas pada hari Jumaat, sehingga tidaklah terhalang orang-orang yang wajib Jumaat untuk menunaikannya. Umpamanya dengan cara yang bijaksana, jika mungkin, kita mengaturkan orang-orang yang tidak wajib Jumaat seperti pegawai-pegawai dan kakitangan perempuan ataupun mereka yang bukan beragama Islam untuk menjalankan tugas-tugas itu pada hari Jumaat, ataupun memadai pegawai-pegawai dan kakitangan yang beragama Islam itu hadir ke masjid dan selepas itu mereka akan mengambil alih semula tugas-tugas daripada pegawai-pegawai perempuan atau mereka yang bukan beragama Islam tadi.
Sekiranya tidak terdapat orang-orang yang bertugas itu mereka yang tidak wajib Jumaat, yakni semuanya wajib Jumaat belaka, maka hendaklah dipastikan serta dielakkan supaya pegawai-pegawai yang berkenaan itu, jangan sampai ada yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat secara berterusan atau berturut-turut, dalam makna, mereka hendaklah digilir-gilir, umpamanya: Jumaat ini si A yang bertugas sementara si B menunaikan Jumaat. Untuk Jumaat yang lain, si A pula menunaikan sembahyang Jumaat sementara si B bertugas. Begitulah seterusnya.
Perlu diingat, bahawa amaran kerana meninggalkan fardhu Jumaat secara berturut-turut tanpa uzur itu adalah sangat keras dan berat.
Banyak hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang memberi amaran sekeras-kerasnya kepada orang yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa keuzuran kerana perbuatan tersebut adalah tanda bagi orang-orang munâfiq dan menjadi sebab turunnya kebinasaan di dunia dan di akhirat.
Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali dengan tiada keuzuran maka dia telah meletakkan Islam itu di belakangnya (meninggalkannya).”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Di dalam hadis yang lain pula Baginda bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali dengan tiada keuzuran maka dia adalah seorang munâfiq.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada satu kaum yang tidak bersembahyang Jumaat:
Maksudnya: “Aku menitikberatkan (memerintahkan) supaya seorang lelaki itu bersembahyang dengan beramai-ramai (berjemaah), kemudian aku berazam membakar rumah-rumah mereka (lelaki) yang meninggalkan sembahyang Jumaat.” (Hadis riwayat Muslim)
Rujuk al Hadaf Mufti Kerajaan Brunei
***p/s : tazkirah utk hari jumaat....hehehe...(jgn terlalu cepat membuat kesimpulan tanpa usul periksa...tanpa mengkaji terlebih dahulu..jgn menghukum tanpa menyelidik kesahihannya )..ingatan buat diri y kerdil dan cetek gn ilmuan....:D
Post a Comment