:: DiSeBaLiK KeJuJuRaN ::

Kerap kali kalau kita jujur kita dituduh bodoh. Bila kita mengalah, kita dianggap lemah. Pada hal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu sukar untuk mendapatnya!

Paling teruji apabila ada orang lain yang mengikut lorong salah… lalu dia cepat sampai, sedangkan kita di lorong yang betul masih lelah menapak dan merangkak. Bila yang batil ketawa, yang benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu. Dan hampir-hampir ia melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tega melihat kebatilan melonjak ria.

Acapkali duri berselindung di sebalik bunga… lalu kita yang tercium keharumannya alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Huluran tangan yang ikhlas dan lembut kekadang dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yang lembut dan halus dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati tajam yang sedia terhunus.

Namun inilah hakikat, tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Justeru, di sana ada akhirat supaya segala topeng kepura-puraan yang selama ini bertahta akan terhenyak dan mendapat pembalasan.

Namun, jika itu yang kita ingatkan kepada yang lain, pasti ada yang mengatakan bahawa itu hanya ‘escapisme’ . Bila kecewa dengan manusia, orang ‘lari’ kepada Tuhan, bila tidak dapat meraih dunia orang mula merindui akhirat, bila terlepas kenikmatan nafsu baru ada yang merintih syurga itu ada!

Bukan, tidak begitu. Keyakinan kepada Allah dan Hari akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh ‘etheis’ dalam diri yang mendakwa bahawa manusia itulah yang ‘mencipta’ Tuhan demi ketenangan.

Selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dengan manusia. Dan siapa yang memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya!

Kita tidak selalu benar dalam pendirian dan tindakan… kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah, tetapi kerana kealpaan dan kejahilan kita tersasar jua. Kita ingin tenang, tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah jua. Ada rasa marah, ada rasa resah… tetapi semua itu adalah ‘bayaran tol’ di lebuh raya mujahadah.

Ya Allah, ampunkanlah kami. Berilah kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmatMu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujian-Mu.

Ya Allah, cuma satu… cuma satu… janganlah Engkau serahkan diri kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata. Kutiplah kami ya Allah untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufik Mu!

Ya Allah, kami sentiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah kami untuk menjadi orang yang jujur dan benar… walau apa jua keadaan dan cabarannya! Amin.

0 Responses

~#HeHeHe...(^-^)...#~